Wednesday, July 31, 2013

SELAMAT HARI RAYA

  Selamat Hari Raya buat semua umat islam.....Semoga hidup sentiasa diberkati Allah

SEJARAH KELANTAN

Sebelum sempat mendarat di bumi berkat Tanah Melayu, YM. Syed Hussein JamadilKubra dan saudara-saudaranya telah diuji oleh Allah dengan satu ujian yang besar sehingga kapal yang mereka naiki hampir 'KARAM' di laut sehingga YM baginda Syed Hussein JamadilKubra hampir-hampir berputus asa dan beliau bersungguh-sungguh berdoa supaya diselamatkan dari bencana itu dengan berikrar akan mendirikan sebuah 'rumah Allah' (masjid)jika mereka terselamat dari bencana karam itu.

Alhamdulillah, diizinkan Allah, secara tiba-tiba terjadilah 'Karamah WaliAllah' iaitu doanya telah makbul (rujuk buku Penghantar Ilmu Tarekat &; Tasauf karangan Prof. Abu Bakar Adtjeh)iaitu telah datang pertolongan Allah (Nasrum'minallah) berupa sekawan 'ikan kekacang' @ kekacang fish', telah datang menolong dengan menyumbat diri masing-masing pada tempat yang terdapat lubang-lubang air di kapal itu. Manakala sekawan yang lain telah menolak kapal itu sehingga selamat sampai ke daratan iaitu di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.


Apabila selamat dari bencana itu, YM Syed Hussein JamadilKubra terus sujud syukur dan bersembahyang dua rakaat bersama-sama yang lain.Fenomena ini menjadi satu 'keganjilan' pada penduduk setempat yang datang menolong kerana di masa itu penduduk di situ masih beragama Hindu dan Budhha yang belum mengenal agama Islam lagi.


Dalam keadaan itu, tiba-tiba satu lagi 'petunjuk' dari Allah datang apabila seekor Tupai Putih melompat di hadapan baginda YM Syed Hussein JamadilKubra dan terus menuju ke serumpun pohon buluh 'Betong' yang berada tidak jauh dari angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra berehat. Tupai putih itu lalu memakan 'umbut' pokok buluh Betong itu dan berlalu dengan kenyangnya.Memandangkan angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra memang dalam keadaan lapar dan dahaga selepai diamuk badai di lautan, maka berkeinginanlah lanta bagi YM Syed Hussein JamadilKubra untuk mencuba apa yang dimakan oleh Tupai putih itu lantaran laparnya.

Setelah siap dibina masjid Kg. Laut, maka Syed Hussein bersma tujuh saudaranya belayar mudik ke hulu sungai sehingga bertemu dengan sebuah bukit yang dipanggil 'Bukit Panau'. Setelah mudik di muka kuala sungai (sungai Kelantan), maka Syed Hussein dan rombongannya mula mendaki Bukit Panau itu sehinggalah sampai ke puncaknya pada waktu hampir maghrib. Kemudian dari maghrib Syed Hussein JamadilKubra mula beribadat secara 'Suluk' (ritual keagamaan) sehinggalah pada waktu hampir dinihari, tiba-tiba bumi jadi bergoyang, angin bertiup kencang dan terasa ada sesuatu yang bakal terjadi. Subhanallah! Dengan kebesaran Allah sekali lagi Allah menunjukkan 'kekeramatan' wali-walinya.


Bumi yang malamnya gelap tiba-tiba bercahaya dengan satu kilauan yang pelik dan menakjubkan. Hal ini menimbulkan kegemparan penduduk setempat, lalu mereka beramai-ramai mendaki Bukit Panau untuk melihat apa yang berlaku. Dalam keadaan aneh, pelik, bingung dan cuba untuk tahu; Penduduk setempat tiba-tiba menjadi lebih terkejut apabila hampir sampai ke puncak bukit apabila satu lagi dentuman yang amat kuat seolah-olah 'petir' yang cahayanya adalah putih berkilau dan memancar terus dari angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra menuju ke langit dan membentuk satu imej seolah-olah 'Tudung Saji'.Dari mulut penduduk setempatlah keluarnya perkataan 'KILAT..KILATAN' sehingga menjadi KELANTAN sampai sekarang ini.

Tuesday, July 30, 2013

10 MALAM TERAKHIR BULAN RAMADHAN

DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan. Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

A . Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

b. Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”


Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.


Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.” Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.


Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.


Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.


Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

c. Memperbanyak doa.


Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan. Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”


KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

IBADAT PUASA

Firman Allah Taala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ ..
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. (1)
Kelebihan bulan Ramadhan dan keistimewaannya diterangkan pula dalam hadith yang berikut:
_______________________________
1. Ayat 185, Surah al-Baqarah.
7- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
_______________________________
1. Fath al-Bari (5:14).
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)
8- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut huraian ulama' rahimahumullah., bahawa terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka,  serta terbelenggunya syaitan-syaitan di sepanjang bulan Ramadhan,  boleh difaham menurut maksudnya yang zahir untuk menghormati bulan yang mulia itu. Dan boleh juga difahamkan sebagai satu gambaran bahawa orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan berbagai jenis ibadat - yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.
______________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:1 87).
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ. (رواه الترمذي والنسائي)
9- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." (1)
(Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)
Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.
Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, malaikat menyeru umat manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya.
Malaikat juga menerangkan dalam seruannya itu tentang kemurahan Allah Taala membebaskan orang-orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab seksa. Mudah-mudahan peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya. (2)
________________________
1. Al-Targhib (2:97) - Hadith Sahih menurut keterangan al-Hakim.
2. Mastika Hadith (1:79).
Lebih lanjut diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
10- عَنْ سَلْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطُوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيهِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعَينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةِ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ، وَشَهْرٌ يُزَادُ فِي رِزْقِ الْمُؤْمِنِ فِيهِ، مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلَّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ أَوْ عَلَى شَرْبَةِ مَاءٍ أَوْ عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ، وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلَهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، مَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ فِيهِ غَفَرَ اللَّهُ لَه وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ، وَاسْتَكْثِرُوا فِيهِ مِنْ أَرْبَعِ خِصَالٍ: خَصْلَتَيْنِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ وَخَصْلَتَيْنِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ فَشَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَتَسْتَغْفِرُونَهُ، وَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الْجَنَّةَ وَتَعُوذُونَ بِهِ مِنَ النِّارِ، وَمَنْ سَقَى صَائِمًا سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ. (رواه ابن خزيمة في صحيحه)
10- Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya (1): "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).
"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".
"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".
"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".
"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".
"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. " Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. "Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".
"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".
"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah: Pertama - mengucap:
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله
Kedua - (banyakkanlah) beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:
أستغفر الله
Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:
نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.
"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.(2)
(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).
Demikian mulianya dan berkatnya bulan Ramadhan dan demikian pula besarnya pahala yang diberikan bagi tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan di sepanjang bulan yang membawa rahmat itu.
____________________________
1. Yakni sesudah memuji Allah seperti yang lazim dilakukan pada tiap-tiap khutbahnya.
2. Al-Targhib (2:94) dan Misykat al-Masabih (1:615) dengan berlainan sedikit lafaznya